Saturday, August 1, 2009
Suara Seorang Anak Tahanan Isa
MEMOIRKU DENGAN AYAH
Oleh Anfaal Saari
10 April 2001, jam 6.20 petang, sekali lagi merupakan detik hitam dalam memoirku dengan ayah. Terdahulu, Oktober 1998, merupakan kejadian yang agak trauma bagiku. Ayah ditahan polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dalam keadaan aku satu-satunya saksi di situ. Namun, pengalaman telah mengajarku menjadi lebih tabah. Pengorbanan ini dikira masih sedikit berbanding tokoh-tokoh awal seperti Syed Qutb, Imam Hassan Al-Banna, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan ramai lagi di Malaysia ini.
Tarikh 10 April 2001 menyaksikan tiada setitis air mata pun tumpah demi pengorbanan ayah yang tidak sia-sia. Pelukan dan dakapan terakhir ayah buatku masih sempat mengizinkan ayah membisikkan kata-kata,"Be strong", ketelingaku. Penahanan kali ini kurasakan berbeza sekali. Semacam ada kekuatan yang Allah anugerahkan sehingga dengan beraninya kulaungkan, "Reformasi!", berulang-ulang kali di hadapan polis tatkala ayah dibawa masuk ke dalam kereta Wira berwarna putih.(Mungkin disebabkan inilah aku agak paranoid dengan kereta Wira berwarna putih).
Siapakah ayah? Ayah yang kukenal gigih orangnya. Apa yang ayah lakukan diberikan penumpuan sepenuhnya. Dedikasi ayah dalam perjuangan, tidak kira ketika menerajui JIM 1990-1999 mahupun dalam era reformasi, menyebabkan kami adik-beradik menjadikan ayah sebagai model kami.
Biarlah apa yang ingin difitnah kerajaan, namun aku lebih mengetahui betapa jujurnya ayah dalam perjuangan ini. Ayah yang kukenal, tidak suka budaya kerja yang tidak telus. "Be transparent!. Buat apa nak sorok-sorok!" Adakah ini orangnya yang merancang penggulingan kerajaan ala militan dan secara bawah tanah?
Semangat perjuangan ayah tidak pernah pudar. Pernah dalam satu perbincangan kami tentang masa depan saya selepas graduasi universiti berbincang soal perjuangan. Kata ayah,"Kesenangan dan kemewahan menjadikan kita sukar untuk berkorban dan berjuang. Kalau bukan kita yang bekerja menumbangkan kerajaan, siapa lagi?"
Ayah memang sudah menjangka penahanannya dan memberitahuku hampir sebulan sebelum tarikh keramat 14 April. Kata ayah, "Kali ni tak nak nangis-nangis."
Mungkin sudah menjadi sunnah orang berjuang, pelbagai dugaan yang kami sekeluarga hadapi. Perlu lari ke sana ke mari, rumah dimasuki perompak, digeledah polis seolah-olah kami tiada hak lagi untuk mempertahankan kediaman sediri. Apa yang pasti, ayah tetap teguh dengan pendiriannya yang sentiasa berpegang pada prinsip keadilan. Keluarga tidak menjadi penghalang. Oleh itu, sering ayah kelihatan menjaga hubungannya dengan Allah, mungkin sebagai persediaan membina kekuatan jiwa. Ayah jarang sekali meninggalkan qiamullailnya. Hampir setiap masa di rumah, ayah gunakan untuk membaca al-Quran. Kini terbayang-bayang ayah duduk bersila di ruang legar tingkat atas rumah kami membaca al-Quran besarnya. Isnin dan Khamis, jika ayah tidak sakit, ayah akan berpuasa sunat. Waktu petang, ayah akan perutukkan masa untuk berjogging dengan mama atau bermain badminton dengan adik-adik. Jika berkesempatan pada hari-hari tertentu, ayah akan pergi memancing ikan (hobi kegemaran ayah), katanya untuk tenangkan fikiran. Kalau ayah tidurpun, selalunya banyak ilham yang ayah dapat untuk menulis.
Cara ayah memimpin dan berorganisasi biasanya disalurkan melalui tulisan yang dihantar melalui e-mel. Berjam-jam ayah duduk di hadapan komputernya, memeriksa e-mel dan membalas satu persatu perkara. Adakah begini orangnya yang bertindak ala militan, wahai tuan IGP?
Sering saya berdoa agar Allah beri kekuatan pada ayah menghadapi dugaan ini. Doa saya juga agar Allah beri kekuatan pada kami sekeluarga. Alhamdulillah, ayah dianugerahkan isteri yang cekal. Mama tidak pernah menangis. Tidak pernah saya lihat air mata mama dititiskan, dahulu mahupun sekarang. Namun, jika setitis air mata mama tumpah, saya akan tuntut pembelaan, jika tidak di dunia.....PASTI di akhirat.
Saya rasakan memoir dengan ayah amat berharga. Tidak cukup untuk diungkap dalam bentuk tulisan. Sepanjang 21 tahun ini terlampau banyak yang saya pelajari dan titipkan pengalaman dari seorang insan pejuang, Haji Saari Haji Sungib, mangsa ISA 2001 dan ayah kami tersayang. Andaikata ayah gugur, doa saya biar ayah pergi sebagai orang syahid. Biar gugur seorang, muncul lagi seribu pejuang.
Ayuh anak muda! Bangkitlah....sebarkan tentang hak kita semua, bebas bersuara, bebas dari ISA (akta kuku besi).
21 April 2001
Anfaal Saari Anak Sulung Hj. Saari Hj. Sungib
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

3 comments:
ISA
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Lazimnya dikenali sebagai ISA, iaitu akronim nama bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuatkuasa di Malaysia. Sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada Akta ini. Pada masa kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.
Semenjak tahun 1960 apabila Akta ini dikuatkuasakan, beribu-ribu orang termasuk ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan telah ditahan di bawah ISA. Ramai aktivis politik pada masa dahulunya telah ditahan untuk lebih daripada sedekad. [perlu petikan]
ISA digunakan secara konsisten terhadap mereka yang mengritik kerajaan dan mempertahankan hak asasi manusia. Dikenali sebagai "keganasan putih" (white terror), ia amat ditakuti dan dibenci, meskipun menjadi satu alat mudah untuk negara membasmi sebarang penentangan dan debat terbuka. Akta ini merupakan satu alatan yang dikekalkan oleh kerajaan yang berkuasa untuk mengawal kehidupan umum dan masyarakat awam.
Sejarah
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 sebenarnya dirangka oleh R.H. Hickling[1] pada awalnya. Kemudian ia dijadikan undang-undang pada tahun 1960. Semasa akta itu mula digunakan, ia membenarkan kajian semula, akan tetapi sejak itu, ISA telah dipinda sebanyak lebih daripada 20 kali dan peruntukan ini telah dikeluarkan. Kuasa mutlak telah diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membolehkan beliau menangkap sesiapa pun, tanpa merujuk kepada mahkamah.[2]
Perundangan
Relevant sections of the legislation are as follows:
Section 73(1) Internal Security Act 1960: "Any police officer may without warrant arrest and detain pending enquiries any person in respect of whom he has reason to believe that there are grounds which would justify his detention under section 8; and that he has acted or is about to act or is likely to act in any manner prejudicial to the security of Malaysia or any part thereof or to maintenance of essential services therein or to the economic life thereof."
Sect 8. Power to order detention or restriction of persons. "(i) If the Minister is satisfied that the detention of any person is necessary with a view to preventing him from acting in any manner prejudicial to the security of Malaysia or any part thereof or to the maintenance of essential services therein or the economic life thereof, he may make an order (hereinafter referred to as a detention order) directing that that person be detained for any period not exceeding two years."
Penahanan
Tahanan ISA lazimnya diletakkan di bawah tahanan di Pusat Tahanan Kamunting.
60 hari pertama
Seseorang yang ditahan di bawah ISA semasa 60 hari pertama tidak dibenarkan berkomunikasi dengan dunia luar. Tambahan pula, peguam dan ahli keluarga tidak dibenarkan melawat orang yang ditahan semasa tempoh awal ini. Jika satu perintah penahanan dua tahun ditandatangani, orang yang ditahan akan dibawa ke Pusat Tahanan Kamunting untuk tempoh yang ditetapkan, dan ahli keluarga lazimnya dibenarkan melawat semasa tempoh ini. Jika tidak, orang yang ditahan akan dibebaskan.
Penyeksaan
Penyeksaan dilaporkan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian tahanan ISA. Mereka yang pernah ditahan menyatakan bahawa mereka telah didera secara fizikal dan mental yang termasuk salah satu daripada senarai ini: pukulan, penanggalan pakaian, soal siasat 24 jam, ketidakbenaran tidur, ancaman bunuh, ancaman deraan fizikal pada ahli keluarga termasuk ancaman rogol kepada anak mereka. Juga, tahanan diletakkan secara individu dalam sel penjara kecil tanpa cahaya dan udara, dalam yang dipercayai menjadi sel tahanan rahsia. Teknik dan aksi penyeksaan ini direka untuk memalukan dan menakutkan tahanan supaya mendedahkan kekurangan dan memecahkan pertahanan mereka. [perlu petikan]
Pembebasan
Kendatipun kerajaan boleh membebaskan tahanan tanpa bersyarat, dalam sesetengah kes, ia telah menuntut mereka yang dibebaskan untuk membuat "pengakuan" umum di televisyen dan radio.[3]
Kritikan
Disebabkan sifat ISA yang tidak berperikemanusiaan, beberapa pertubuhan hak asasi manusia dan parti pembangkang telah mengritik Akta ini dan memanggil pemansuhannya. Kerajaan asing, terutama kerajaan Barat, juga telah menekan kerajaan untuk memansuhkan Akta.
Dalam negara
Beberapa parti politik pembangkang termasuk Parti Islam Se-Malaysia [PAS],Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyatakan bantahan mereka terhadap ISA. Ramai diantara pemimpin dan ahli terkenal mereka yang telah ditahan di bawah ISA termasuk Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng dari DAP dan Anwar Ibrahim dari PKR.
Namun Akta ini juga pernah dikritik oleh beberapa ahli politik gabungan Barisan Nasional, termasuk parti komponen terbesarnya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang telah memerintah Malaysia semenjak kemerdekaannya juga telah mengritik ISA. Perdana Menteri Malaysia kelima, Abdullah Ahmad Badawi, telah menyatakan pada tahun 1988 "Jika kita semua hendak menyelamatkan Malaysia dan UMNO, Dr Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) mesti diguling. Dia menggunakan undang-undang kejam seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk mendiamkan pengkritiknya." Tahun sebelumnnya, dia juga telah menyatakan "Undang-undang seperti ISA tidak punyai tempat di Malaysia moden. Ia merupakan perundangan tidak berperikemanusiaan dan jahat." Pada tahun 2003 apabila beliau menjadi Perdana Menteri pula, beliau mengatakan bahawa ISA adalah "undang-undang yang perlu," dan mengemukakan argumentasi "Kami tidak pernah menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Kesemua mereka yang ditahan dibawahnya terbukti mengancam masyarakat secara umum."
Luar negara
Kerajaan Amerika Syarikat pernah mengritik kerajaan Malaysia kerana menggunakan ISA beberapa kali, paling terkini pada tahun 2001 apabila Presiden George W. Bush mengatakan bahawa "Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah undang-undang jahat. Tidak wajar ada lagi negara yang punyai undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan." Pada 2004 pula, Bush berpaling dan berkata "Kami tidak seharusnya sewenang-wenangnya mengklasifikasi Akta Keselamatan Dalam Negeri Malaysia sebagai undang-undang kejam.", dan ini amat mungkin berpunca daripada peristiwa 11 September 2001 dan penggubalan Akta PATRIOT selepasnya.
Tahanan ISA
Pada 17 November 2007, seramai 74 orang masih dithan di Kem Kamunting, Taiping, Perak di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Antara kesalahan yang mereka terlibat dalam ialah:
Jemaah Islamiah
Daulah Islamiyah
Pemalsuan wang syiling RM1
Pemalsuan dokumen pengenalan
Pemalsuan pasport rakyat China
Penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI)
Gerakan Militan Selatan Thailand, Pejuang Pemisah Empat Wilayah dan Pemisah Selatan Thailand
Jika tahanan merayu dan memenuhi syarat, Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh memberi bantuan RM200.00 setiap bulan kepada keluarga tahanan.[4]
Post a Comment